Sejak e-invois bermula, banyak vendor menjual perisian e-invois dan promosi mereka kedengaran sama. Sebelum membandingkan ciri, tentukan dahulu sama ada anda memerlukan perisian: LHDN menyediakan pilihan percuma untuk semua perniagaan. Senarai semak ini berdasarkan garis panduan dan Soalan Lazim LHDN seperti yang kami baca pada 29 Oktober 2026; petikan ialah terjemahan kami. Kami tidak menjual perisian e-invois dan tidak menamakan mana-mana vendor. Jika belum pasti anda wajib e-invois, mulakan dengan panduan e-invois Malaysia dan pengecualian e-invois RM3 juta kami.
Tiga laluan anda
Garis Panduan e-Invois LHDN menerangkan dua cara menghantar e-invois kepada LHDN: Portal MyInvois dan API. Secara praktikal, perniagaan kecil ada tiga laluan:
| Laluan | Sesuai untuk | Kata LHDN |
|---|---|---|
| Portal MyInvois | Invois sedikit, tiada sistem invois | Percuma untuk semua pembayar cukai; borang satu demi satu atau muat naik hamparan secara pukal (soalan lazim 140, 141) |
| Sistem sedia ada, disambung melalui API | Sudah guna perisian perakaunan, POS atau ERP | Perlukan pelaburan awal dan pengubahsuaian sistem sedia ada (Jadual 2.1 Garis Panduan) |
| Penyedia teknologi | Mahu orang lain menguruskan sambungan | Terus, melalui penyedia perkhidmatan Peppol, atau penyedia bukan Peppol (bahagian 2.4 Garis Panduan) |
Anda juga boleh gabungkan: LHDN membenarkan portal dan API digunakan bersama, tetapi mengesyorkan penyesuaian rekod supaya tiada e-invois dihantar dua kali (soalan lazim 134). Panduan Portal MyInvois kami menunjukkan apa yang terlibat dalam laluan percuma.
Mulakan dengan angka anda sendiri
Jawab soalan ini sebelum sebarang demo:
- Berapa invois sebulan, dan berapa baris setiap satu?
- Adakah kebanyakan jualan kepada pelanggan biasa yang hanya perlukan resit (dan e-invois disatukan bulanan), atau kepada perniagaan yang mahu e-invois sendiri?
- Dari mana invois anda datang hari ini: tulisan tangan, Excel, perisian perakaunan, POS?
- Siapa yang akan mengeluarkannya, dan sejauh mana mereka selesa dengan komputer?
Kedai dengan dua puluh pembeli perniagaan sebulan mungkin cukup dengan portal. Kedai dengan POS dan ratusan resit sehari memerlukan POS yang boleh mengurus e-invois.
Soalan untuk vendor
Pematuhan
- Adakah ia menghantar ke MyInvois melalui API, dan sudah digunakan dalam persekitaran sebenar (production), bukan hanya sandbox?
- Adakah ia mengurus invois, nota kredit, nota debit dan nota bayaran balik, serta e-invois bil kendiri jika perlu?
- Adakah ia menyediakan e-invois disatukan bulanan daripada resit anda, dalam tempoh tujuh hari?
- Bagaimana ia mengurus tempoh 72 jam untuk pembatalan dan penolakan?
- Apa berlaku jika MyInvois tergendala? Soalan Lazim LHDN menyatakan pembekal diberi 72 jam untuk mengeluarkan e-invois selepas sistem pulih, dan mekanisme cuba semula perlu ada dalam sistem pembekal (soalan 143).
- Adakah ia mematuhi had LHDN iaitu 5MB dan 100 e-invois setiap penghantaran, serta 300KB setiap e-invois (soalan 135)?
Data anda
- Siapa yang memegang sijil digital? Bagi penghantaran melalui API, garis panduan LHDN menyatakan sijil digital (fail .cer atau .pfx) mengesahkan identiti pengeluar, dan e-invois ditandatangani dengannya.
- Bolehkah anda mengeksport semua e-invois dan rekod pembeli jika berhenti melanggan?
- Di mana data disimpan, dan siapa di pihak vendor boleh melihatnya?
Pembeli anda
- Bolehkah pembeli meminta e-invois sendiri, contohnya dengan memasukkan nombor resit? Garis Panduan Khusus LHDN menyebut halaman layan diri seperti ini sebagai satu pilihan.
- Adakah ia menghasilkan PDF mudah dibaca dengan kod QR, yang boleh dihantar melalui e-mel atau WhatsApp?
Kos dan sokongan
- Yuran pemasangan, yuran bulanan, dan caj setiap e-invois?
- Waktu dan bahasa sokongan, dan siapa yang dihubungi ketika hujung bulan?
Kata LHDN tentang penyedia
- Tiada pendaftaran atau pensijilan rasmi, buat masa ini. Soalan Lazim LHDN menyatakan tiada keperluan pendaftaran untuk penyedia teknologi buat masa ini dan tiada pensijilan diperlukan, walaupun ini mungkin berubah (soalan 138, 139). Jika vendor mengaku "bertauliah", tanya oleh siapa dan untuk apa; Peppol ialah rangkaian berasingan dengan penyedianya sendiri.
- Tanggungjawab kekal pada anda. Syarikat tetap bertanggungjawab mematuhi keperluan walaupun melantik penyedia perkhidmatan, dan bagi syarikat tanggungjawab itu terletak pada pengarahnya (soalan 30). Jika kesilapan vendor menyebabkan ketidakpatuhan, LHDN menyatakan anda masih boleh menyertai program pengakuan sukarela, tetapi tanggungjawab tetap milik anda (soalan 133).
- Perkara cukai tentang kos. Kenyataan LHDN 7 Julai 2026 menyatakan kerajaan membenarkan tuntutan penuh elaun modal dalam tempoh satu tahun bagi kelengkapan ICT serta kos pembangunan atau pengubahsuaian perisian untuk e-invois. Tanya penasihat cukai anda bagaimana ia terpakai.
Senarai semak
- Pastikan anda wajib e-invois, dan bermula bila.
- Cuba Portal MyInvois yang percuma sebelum membeli apa-apa.
- Jika membeli: sambungan API production, semua jenis dokumen, e-invois disatukan, pengurusan 72 jam dan cuba semula.
- Jawapan jelas tentang sijil digital, eksport data dan akses data.
- Pilihan pembeli memohon sendiri dan PDF dengan kod QR.
- Semua kos secara bertulis, termasuk caj setiap invois.
- Ingat, tanggungjawab tetap pada anda, siapa pun yang menguruskan perisian.